Selasa, 12 November 2013

Kelebihan dan Fadhilat Bulan Muharram

Kelebihan dan Fadhilat bulan Muharram

Muharram adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (QS Al-Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah SAW telah menamakan bulan Muharram sebagai ‘Bulan Allah’ (Shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda SAW kepada Allah SWT lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khawas (khusus) di kalangan makhluk-makhlukNya.

Berkata Al-Hassan Al-Basri rahimahullah: “Sesungguhnya Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.”
Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

Kelebihan Hari Asyura & Amalan Pada 30 Zulhijjah & 1 Muharram
Abul-Laits Asssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibnu Abbas r.a berkata: “Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura (yakni 10 Muharram), maka Allah SWT akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat; dan barangsiapa yang puasa pada hari Asyura, maka akan diberikan pahala 10,000 orang Haji dan Umrah, dan 10,000 orang mati syahid; dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah SWT akan menaikkan dengan rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi buka puasa orang mukmin yang berpuasa pada hari Asyura, maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW dan mengenyangkan perut mereka.”
Sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura dari lain-lain hari.” Jawab Rasulullah SAW: “Benar!

• Allah SWT telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura,
• dan menjadikan Adam juga Hawa pada hari Asyura;
• dan menjadikan Syurga serta memasukkan Adam di syurga pada hari Asyura;
• dan Allah SWT menyelamatkan dari api neraka pada hari Asyura;
• dan menenggelamkan Fir’aun pada hari Asyura;
• dan menyembuhkan bala Nabi Ayyub pada hari Asyura;
• dan Allah SWT memberi taubat kepada Adam pada hari Asyura;
• dan diampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura;
• dan juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura;
• dan akan terjadi Kiamat pada hari Asyura.


PERISTIWA 10 MUHARRAM
10 Muharram – Dinamakan juga ‘Hari Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Bertanya para sahabat: “Wahai Rasulullah! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain?” Jawab Baginda SAW:

1.Allah SWT menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya
2.Allah SWT menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
3.Diciptakan lautan pada 10 Muharram
4.Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
5.Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram
6.Diciptakan Nabi Adam AS pada 10 Muharram
7.Dimasukkan Nabi Adam AS ke dalam syurga pada 10 Muharram
8.Dilahirkan Nabi Ibrahim AS pada 10 Muharram
9.Diselamatkan Nabi Ibrahim AS dari api Namrud pada 10 Muharram
10.Diselamatkan anaknya Nabi Ismail AS dari sembelihan pada 10 Muharram
11.Ditenggelamkan Fir’aun pada 10 Muharram
12.Diampunkan kesilapan Nabi Daud AS pada 10 Muharram
13.Dilahirkan Nabi Isa AS pada 10 Muharram
14.Dikeluarkan Nabi Yunus AS daripada perut ikan Nun setelah berada didalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram
15.Disembuhkan penyakit Nabi Ayub AS pada 10 Muharram
16.Diangkat Nabi Isa AS ke langit pada 10 Muharram
17.Diterima taubat Nabi Adam AS pada 10 Muharram
18.Dianugerahkan takhta kerajaan kepada Nabi Sulaiman AS
19.Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
20.Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
21.Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
22.Diselamatkan bahtera Nuh AS daripada tenggelam sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan pada 10 Muharram


Peristiwa lain
1.Allah SWT menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
2.Diangkat Nabi Idris AS ke langit pada 10 Muharram
3.Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
4.Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.
5.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
6.Allah SWT menjadikan ‘Arasy.
7.Allah SWT menjadikan alam.
8.Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ikrimah RA berkata: “Hari Asyura ialah hari diterimanya taubatnya Nabi Adam. Dan ia pula hari turunnya Nabi Nuh dari perahunya. Maka ia berpuasa syukur; dan ia pula hari tenggelamnya Fir’aun dan terbelahnya laut bagi Nabi Musa AS dan Bani Israil. Maka mereka berpuasa; kerana itu jika dapat, engkau berpuasalah pada hari Asyura.”
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Maisarah berkata: “Barangsiapa yang melapangkan pada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah SWT akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu.” Sufyan berkata: “Telah kami cuba, maka rasakan kebenarannya.”

Said bin Jubair dari Ibn Abbas RA berkata: “Ketika Nabi SAW baru berhijrah ke Madinah, mendapatkan kaum Yahudi puasa pada hari Asyura, maka ditanya kepada mereka tentang itu. Jawab mereka: “Hari itu Allah memenangkan Nabi Musa AS dari Bani Israil terhadap Fir’aun dan kaumnya. Maka kami puasa kerana mengagungkan hari ini”. Maka sabda Nabi SAW: “Kami lebih layak mengikuti jejak Musa dari kamu“, maka Nabi SAW menyuruh sahabat supaya berpuasa.
Abul Laits berkata: “Dinamakan Asyura kerana ia jatuh pada sepuluh bulan Muharram.” Ada lain pendapat yang mengatakan hari Asyura kerana Allah SWT telah memuliakan pada Nabi-nabi dengan sepuluh kehormatan:

1.Allah SWT telah menerima taubat Nabi Adam AS
2.Allah SWT menaikkan darjat Nabi Idris AS
3.Hari berlabuhnya perahu Nabi Nuh AS
4.Nabi Ibrahim AS dilahirkan pada hari Asyura dan diangkatkan sebagai ‘Khalilullah’ (Kekasih Allah) juga diselamatkan dari api.
5.Allah SWT menerima taubat Nabi Daud AS
6.Allah SWT mengangkat Nabi Isa AS ke langit
7.Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS
8.Allah SWT menenggelamkan Fir’aun
9.Allah SWT mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan
10.Allah SWT mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman AS

Semua ini terjadi pada hari Asyura. Sebahagian lain berpendapat, dinamakan hari Asyura kerana ia kesepuluh dari kemuliaan-kemuliaan yang diberikan Allah SWT pada umat ini:
1.Bulan Rejab – Allah SWT menjadikannya sebagai kemuliaan bagi umat ini dan melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan umat ini ke atas umat yang lain.
2.Bulan Sya’ban – Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas semua Nabi.
3.Bulan Ramadhan – Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Allah SWT terhadap semua makhluk.
4.Lailatul Qadar yang terlebih baik dari seribu bulan yang lain.
5.Hari Aidil Fitri sebagai hari pembalasan (penerimaan upah)
6.Hari-hari sepuluh (1 hingga 10 Zulhijjah) iaitu hari-hari untuk berzikir kepada Allah SWT.
7.Hari Arafah yang dapat menebus dosa dua tahun.
8.Hari Aidil Adha iaitu hari berkorban.
9.Hari Jumaat yang termulia dari semua hari.
10.Hari Asyura yang puasanya dapat menebus dosa satu tahun.

Dan masing-masing waktu yang tersebut itu ada kemuliaan dari Allah SWT diberikan kepada umat ini untuk membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka. Di bawah ini ada beberapa terjemahan hadith untuk panduan kita bersama:
Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam.” (HR Muslim)

Abu Musa Al-Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar RA: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun.” (HR Albazzar)
Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA katanya Rasulullah SAW ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab Baginda, “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang.” Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura. Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu.” (HR Muslim)

Dari Aisyah RA katanya: “Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga.” (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas RA katanya: “Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi pun bertanya: “Hari apa ini?” Jawab mereka: “Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah SWT melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya”. Sabda Nabi: “Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa”. Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari Asyura.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu pada hari ke-sembilan dan ke-sepuluh Muharram dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.” (HR Al-Baihaqi)
Semoga Allah SWT melimpahkan rezeki dan limpah kurniaNya untuk kita agar dapat mengamalkan dan memuliakan kedatangan awal Muharram dengan cara sambutan yang dilaksanakan oleh para Rasul, Anbiya, Siddiqin, Aulia Allah dan orang- orang soleh. Insya Allah.
Wallahua’lam.


Khamis, 10 Oktober 2013

Kelebihan Puasa Pada Bulan Zulhijjah



Puasa 1 – 10 Zulhijjah
.
HARI
PERISTIWA
KELEBIHAN PUASA
1 Zulhijjah
Allah mengampuni Nabi Adam di Arafah.
Sesiapa yang berpuasa pada hari ini, Allah mengampuni dosanya.
2 Zulhijjah
Allah telah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkannya dari perut ikan nun.
Sesiapa berpuasa pada hari ini, maka seperti orang yang beribadah dan berpuasa setahun tanpa melakukan maksiat.
3 Zulhijjah
Doa Nabi Zakaria diperkenankan Allah,
Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.
4 Zulhijjah
Nabi Isa dilahirkan.
Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah akan menghilangkan kesusahan, kemelaratan dan kefakirannya serta pada hari kiamat bersama orang yang baik, mulia dan terhormat.
5 Zulhijjah
Nabi Musa a.s. dilahirkan dan memuliakan munajatnya.
Sesiapa berpuasa pada hari itu terlepas ia daripada sifat munafik serta seksa kubur.
6 Zulhijjah
Allah membukakan pintu kebaikan untuk Nabi-Nabi-Nya.
Sesiapa berpuasa pada hari itu akan dipandang Allah dengan penuh rahmat dan kasih sayang serta tidak akan diazab.
7 Zulhijjah
Pintu neraka jahanam akan dikunci dan tidak dibuka sebelum berakhir hari ke-10 Zulhijjah.
Sesiapa berpuasa pada hari ini, Allah menghindarkannya daripada 30 pintu kemelaratan dan kesukaran serta membuka 30 pintu kemudahan dan kesenangan.
8 Zulhijjah
Hari ini dinamakan  “Tarwiyah” (Hari berfikir).Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan.
.Sesiapa berpuasa pada hari itu ia akan akan mendapat pahala yang tidak terhingga banyaknya kecuali Allah.
9 Zulhijjah
Hari ini dinamakan “Hari Arafah” (Hari tahu). Arafah bermakna tahu atau memahami.1. Di tempat inilah Nabi Adam a.s. mengerti jati dirinya.2. Pada hari ini Allah memberitahu Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu adalah perintah dari-Nya bukan dari syaitan.3. Pada hari ini juga turunnya ayat al-Quran terakhir.
.Sesiapa berpuasa pada hari itu akan diampunkan Allah dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
10 Zulhijjah
Hari Raya Aidiladha, dinamakan juga Raya Korban dan hari “Nahar” (menyembelih).
Haram berpuasa pada hari ini.Sesiapa berkorban dengan satu korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu, Allah akan mengampuni semua dosanya dan dosa ahli keluar-ganya.Dan sesiapa memberi makan orang mukmin atau bersedekah dengan satu pemberian, maka Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dengan selamat dan timbangannya pun menjadi lebih berat daripada Bukit Uhud..
.
.
Puasa Arafah
Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.
Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).
Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”
.
.
Niat Puasa Hari Arafah;
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Daku berniat puasa hari Arafah, sunat  kerana Allah Ta’ala.
.
Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”
.
Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuktidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu.
Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith: “Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:  “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.).
.
.
Pendapat Ulama Tentang Puasa Arafah
1.   Al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat beribadat di ‘Arafah.”
2.  Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji
3.  Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.
.
.
Haram Berpuasa
Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Umar ra: “Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)
.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.”(Hadith Riwayat Imam Ahmad r.a.).
.
.
Puasa Tambahan
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah(9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Bahkan adalah disunatkanberpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji,bersama-sama dengan Hari Arafah.
.
Hadis riwayat Ibni Abbas: “Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”
 .
Bertapa besarnya keistimewaan dan kelebihan puasa yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah ini. Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang dan kesempatan ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya dengan melakukannya seikhlas hati.
.
Wallahu A’alam Bissowab
.

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
.

Jumaat, 6 September 2013

11 GOLONGAN YANG DIDOA MALAIKAT

11 Golongan Manusia Yang Didoa Malaikat |
Percaya kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:
·         Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”
·         Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”
·         Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”
·         Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
·         Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”
·         Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”
·         Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.”Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”
·         Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”
·         Orang yang membelanjakan harta (infak).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”
·         Orang yang sedang makan sahur.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”
·         Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

***** Malaikat sentiasa bersama kita sepanjang hidup kita sejak dari kita dilahirkan sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir. Namun adakah kita mahu mensia-siakan diri kita sepanjang hidup? Marilah sama-sama kita merebut untuk berada dalam golongan yang sering didoa malaikat.